Kerajaan sediakan tapak baharu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman - Hannah Yeoh

Iklan
Hannah Yeoh (tengah) bersama pemimpin India lain menyelesaikan isu kuil Sri Patrakaliamman.

SHAH ALAM - Kerajaan telah menyediakan tapak baharu bagi pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman serta mempercepatkan penyempurnaan semua kelulusan berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pada 17 September 2025 semua kelulusan pelan bangunan diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pihak kuil kemudian tapak baharu telah digazetkan sebagai tapak rumah ibadat bukan Islam pada 5 Disember tahun yang sama.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, seterusnya Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKTWPKL) telah mengeluarkan kebenaran membina bangunan di atas tanah berkenaan pada 14 Januari 2026.

"Kerajaan memaklumkan bahawa pembangunan masjid Madani dan proses pemindahan kuil yang terlibat sedang dilaksanakan secara terancang berlandaskan undang-undang serta mengambil kira keharmonian antara agama.

Iklan

"Seiring dengan itu, kerajaan sedang menyelaras pelaksanaan pemindahan kuil di peringkat operasi melibatkan semua agensi dan pihak berkaitan.

"Ia dibuat menerusi mesyuarat penyelarasan yang akan diadakan pada 19 Januari 2026 (hari ini) bagi memperincikan langkah dan penyelarasan pemindahan serta pembinaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, pengurusan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman Kuala Lumpur mendakwa tuntutan Jakel Trading bercanggah dengan perjanjian dan ikrar Kerajaan Malaysia susulan notis terbaru syarikat tekstil itu agar kuil berkenaan segera memindahkan premisnya dalam tempoh tujuh hari.

Menurut pengurusan kuil, perjanjian dan ikrar tersebut sebelum ini menyebut kerajaan memberi komitmen bahawa Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman Kuala Lumpur tidak akan dipindahkan sehingga urusan penempatan semula di tapak baharu selesai.

Tambah Hannah, kerajaan akan meneruskan perbincangan secara rapat dan berkala dengan semua pihak khususnya selepas perayaan Thaipusam bagi memastikan pelaksanaan berjalan dengan teratur dan saling menghormati.

Hannah turut merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Sharif atas usaha menyediakan tapak baharu bagi kuil berkenaan.

"Penghargaan turut diberikan kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran atas komitmen bersama membantu memastikan penyelesaian isu itu dapat dicapai secara harmoni.

"Pendekatan ini mencerminkan semangat pentadbiran Wilayah Persekutuan dalam mengurus perbezaan secara matang dan berhemah, saling menghormati serta kesediaan mendahulukan kepentingan bersama selaras dengan prinsip mengasihi sesama insan seperti diri sendiri," ujarnya.