PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menyentuh mengenai pendidikan negara sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Ke-15.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, kementerian itu memaklumkan sedang memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan Kurikulum Baharu Prasekolah.
Iklan
Iklan
Jelas KPM, RPM 2026-2035 adalah kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah tamat pada tahun lalu dengan matlamat utamanya untuk meningkatkan mutu pendidikan negara demi anak-anak Malaysia.
'Seperti yang dititahkan Sultan Ibrahim, RPM 2026-2035 memberi penekanan kepada usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain sebagai nilai tambah kepada murid.
"KPM memastikan titah Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan Sultan Ibrahim bertitah sebarang usaha merangka sistem pendidikan baharu perlu seiring dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai teras utama pelaksanaannya.
Titah Seri Paduka Baginda, ia kerana sistem pendidikan negara perlu terus diperkasa sebagai asas pembangunan bangsa, pembentukan jati diri dan penentu masa depan negara.