GUA MUSANG – Aktiviti mencurigakan penggalian di kawasan ladang kelapa sawit di Sungai Terah di sini membongkar kegiatan perlombongan emas haram Sabtu lalu.
Kes itu dibongkar Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan.
Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, Operasi Bersepadu Khazanah kira-kira jam 6 petang berjaya menahan dua lelaki masing-masing seorang warga tempatan dan Myanmar.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta lesen perlombongan yang dibenarkan.
"Dalam operasi ini, pihak berkuasa telah menyita pelbagai jentera dan peralatan perlombongan termasuk dua unit jentera hydraulic excavator, sebuah Toyota Hilux, enjin pam penyedut, palong, karpet pemprosesan serta diesel yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM640,729.40," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 serta Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.
Kata beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengeksploitasi khazanah negara secara haram demi kepentingan peribadi.
Jelasnya, pendekatan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang dilaksanakan melalui operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan telah membolehkan tindakan diambil secara menyeluruh, pantas dan berimpak tinggi, bukan sahaja dari sudut penguatkuasaan jenayah, malah merangkumi aspek tanah, imigresen dan keselamatan negara.
“Aktiviti perlombongan emas secara haram bukan sekadar menyebabkan kerugian kepada negara dari segi hasil, malah membawa ancaman serius terhadap alam sekitar, keselamatan awam serta kedaulatan undang-undang.
"Tindakan tegas dan bersepadu akan terus dilaksanakan tanpa pengecualian,” ujarnya.
Tegas Rosli, pihaknya bersama agensi-agensi berkaitan akan terus mempergiatkan operasi risikan dan penguatkuasaan secara berkala, khususnya di kawasan berisiko tinggi bagi memastikan sumber negara dilindungi dan undang-undang ditegakkan secara konsisten.
"PDRM turut menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti perlombongan haram kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat," ujarnya.