Remaja perempuan 13 tahun berdepan detik cemas dilarikan individu tidak dikenali

Iklan
Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun berdepan detik cemas selepas dipercayai dilarikan individu tidak dikenali di Seksyen 25, Shah Alam pada Ahad. Foto tular

SHAH ALAM - Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun berdepan detik cemas selepas dipercayai dilarikan individu tidak dikenali semasa berada dalam kenderaan di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah menengah di Seksyen 25 di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang sebelum pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam insiden itu, mangsa berada dalam kereta jenis Perodua Viva.

"Siasatan mendapati mangsa telah meminta kunci kereta daripada bapanya bagi menghidupkan enjin kerana ingin duduk di dalam kereta.

Iklan

"Mangsa telah duduk di bahagian tempat duduk belakang dan bermain telefon bimbit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ramsay berkata, suspek kemudian telah memasuki kereta itu dan hanya menyedari terdapat mangsa apabila kanak-kanak itu menjerit.

Iklan

Tambahnya, suspek tidak bertindak kasar namun hanya mengarahkan mangsa untuk diam.

Hasil maklumat awam katanya, mangsa dan kenderaan terbabit telah dijumpai selamat di tepi jalan berhampiran sebuah restoran kira-kira empat kilometer (km) dari lokasi kejadian.

"Mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan namun masih trauma atas kejadian yang berlaku.

"Kenderaan yang dijumpai telah diperiksa oleh Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebelum dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Tegasnya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak di bawah umur daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394," katanya.