HATRIK berganda Teto Martin pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad, menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) hampir pasti lolos ke saingan suku akhir apabila menewaskan PDRM FC, 10-1,di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.
JDT bermula garang dan hanya memerlukan dua minit bagi merobek gawang PDRM FC menerusi jaringan pemain import, Teto Martin.
Minit ke-7 menyaksikan pemain Sepanyol itu sekali lagi menggamatkan stadium hasil jaringan keduanya untuk skuad Harimau Selatan itu.
Biarpun mendahului dua jaringan di hadapan JDT dilihat terus hebat mengatur asakan ke gawang pelawat bagi menambah jaringan.
Bagaimanapun, tiada jaringan tambahan yang berjaya dihasilkan oleh skuad Harimau Selatan itu hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, JDT hanya memerlukan tiga minit bagi menambah gol ketiga hasil jaringan Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-48.
Dua minit berselang, Stadium Sultan Ibrahim bergema lagi hasil jaringan keempat oleh Teto yang sekali gus melengkapkan hattrik pemain berusia 24 tahun itu.
Hasil satu serangan balas The Cops berjaya merapatkan jurang gol menerusi jaringan Mohamad Imran Samso pada minit ke-60.
Namun, dua minit berselang, Teto sekali lagi mencatat nama selaku penjaring dengan gol kelima pada minit ke-62 sebelum pemain gantian Marcos Guilherme menjaringkan gol ke enam skuad Harimau Selatan itu pada minit ke-66.
Teto Martin menjaringkan gol ke tujuh JDT yang juga gol kelima peribadinya pada minit ke-73.
Berbaki empat minit permainan seorang lagi pemain gantian, Manuel Hidalgo merembat masuk gol kelapan pada minit ke-87.
Hidalgo kemudiannya terlibat dalam jaringan ke sembilan apabila melorongkan bola buat Guilherme menjaringkan gol pada minit ke-90.
Saat-saat akhir perlawanan menyaksikan Teto melengkapkan hatrik bergandanya dengan meledak gol ke-10 yang juga gol keenam peribadinya pada masa kecederaan yang sekaligus melengkapkan kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan itu menjelang aksi kedua pusingan 16, Sabtu depan di venue sama.