Malam Budaya Emas Sri Semantan gamat, 2,000 banjiri Dataran Karangkraf

Iklan
Lebih 2,000 pengunjung membanjiri Dataran Karangkraf, Seksyen 15, di sini pada Sabtu malam

SHAH ALAM – Lebih 2,000 pengunjung membanjiri Dataran Karangkraf, Seksyen 15, di sini pada Sabtu malam bagi memeriahkan acara Malam Budaya Emas Sri Semantan yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dan berwarna-warni.

Program yang mengangkat martabat seni warisan itu menyaksikan kehadiran luar biasa peminat seni tradisional, sekali gus membuktikan sokongan komuniti terhadap inisiatif kebudayaan yang dibawakan oleh pengeluar barangan kemas terkemuka, Emas Sri Semantan.

Iklan
Iklan

Acara dibuka dengan ketibaan Ketua Pegawai Eksekutif Emas Sri Semantan Sdn Bhd, Mohamad Hafizal Mahmood, sebelum pengacara popular, Issey Fazlisham dan Fadil Turbo menghidupkan suasana dengan celoteh serta pengendalian bertenaga.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah serta Ahli Lembaga Pengarah (ALP) pengeluar barangan kemas berkenaan, Shaaini Md Jumaat.

Iklan

Jurucakap penganjur yang juga Presiden MySinar, Mohd Fadzil Fairus Guriaman berkata, kemuncak acara dimeriahkan dengan persembahan bertenaga daripada Kumpulan Dikir Exclusive Shah Alam dan Kumpulan Suara Perantau Kajang, selain kemunculan istimewa legenda dikir barat, Halim Yazid.

“Keadaan menjadi semakin gamat apabila Along PM, Six dan Mey Elo menghiburkan tetamu dengan slot sketsa komedi sebelum majlis diakhiri dengan persembahan ikonik Wau Bulan,” ujarnya.

Iklan

Pada majlis sama, Mohamad Hafizal turut menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang cabutan bertuah yang diadakan di pentas utama.

Mohamad Hafizal (empat dari kanan) dan Muhammad Nasir (dua dari kiri) bersama jawatan kuasa penganjur menyampaikan hadiah cabutan kepada pemenang.

Dalam perkembangan berkaitan, Kedai Emas Sri Semantan turut mengumumkan pembukaan cawangan baharunya yang keenam di Seksyen 7, Shah Alam.

Sempena pembukaan itu, syarikat menawarkan cabutan bertuah dengan nilai keseluruhan melebihi RM200,000, termasuk hadiah utama sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah, Toyota Vellfire.

Bagi melayakkan diri, pelanggan hanya perlu membuat pembelian minimum RM1,000 di cawangan berkenaan.

Tempoh promosi eksklusif itu dijadualkan berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 23 hingga 25 Januari ini.

Langkah berkenaan dilihat sebagai strategi berani Kedai Emas Sri Semantan dalam memperkukuh kedudukan jenama mereka, selain berkongsi rezeki bersama pelanggan sempena pengembangan perniagaan di Selangor.