SUAMI kepada pelakon Allahyarham Nadia Kesuma, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah berkongsi hantaran duka memaklumkan isterinya yang tercinta telah kembali ke rahmatullah.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia itu memaklumkan Nadia meninggal dunia di bumi anbia pada pagi Khamis.
"Dengan penuh rasa dukacita dan kesedihan, saya ingin mengumumkan pemergian isteri tercinta saya Nadiah Kasumawati bt Abdul Karim telah kembali ke rahmatullah dengan tenang di tanah para anbia (Jeddah) pada 15 Januari 2026, jam 8.07 pagi.
"Semoga ALLAH mengurniakan keampunan kepadanya," titipnya.
Dalam pada itu, Muhammad Kamarul Kabilan turut berkongsi titipan sayu selepas usaha pencarian isteri tercinta, Nadia atau nama penuhnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim berakhir duka.
"Sayangku, saya akan sentiasa merindui dirimu. Saya bersyukur kerana dapat menghantar awak ke destinasi terakhirmu.
"Aku mencintaimu… insya-ALLAH kita akan bertemu lagi, mudah-mudahan di jannah. Ya ALLAH, daripada-Mu kami datang dan kepada-MU kami kembali," titipnya.
Dalam hantaran yang sama, Muhammad Kamarul berkongsi doa buat isterinya itu.
"Dia adalah seorang isteri yang taat, penyayang, ikhlas dan setia.
"Ya ALLAH, ENGKAU telah menjanjikan jannah bagi mereka yang mentaati suami, dan mereka boleh memasuki jannah melalui mana-mana pintu yang mereka kehendaki.
"Sesungguhnya, dia milik-MU ya ALLAH! Semoga Engkau menunaikan janji-MU," tulisnya.
Terdahulu, media berkongsi berita kehilangan Allahyarham yang dikatakan tidak dapat dijejaki selepas tiba di lapangan terbang Jeddah dalam atas urusan umrah ziarah sebelum ke London dan Paris. - SinarPlus