'Bukan individu pelik' - Suami jelas salah faham mesej kehilangan pelakon Nadia Kesuma

Iklan
Nadia Kesuma hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Istilah 'I met a stranger' yang dihantar oleh pelakon, Nadia Kesuma sebelum dilaporkan hilang di Jeddah bukan merujuk kepada pertemuan dengan individu mencurigakan, sebaliknya membawa maksud berbeza.

Suami Nadia, Prof Dr Muhammad Kamil Kabilan Abdullah berkata, frasa berkenaan merujuk kepada jemaah umrah lain yang tidak dikenali isterinya sebelum ini dan bukan individu asing atau pelik seperti yang dispekulasikan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Nadia tidak pernah menghantar sebarang mesej yang menunjukkan dia berada dalam keadaan bahaya atau berdepan situasi mencurigakan sepanjang perjalanan berkenaan.

“Saya ingin jelaskan kepada semua bahawa ‘I met a stranger’ itu tidak betul ditafsirkan. Nadia tidak menerima sebarang mesej atau berjumpa individu pelik.

Iklan

“Di sebaliknya, maksud sebenar ‘stranger’ ialah jemaah lain yang dia temui di KLIA, yang sebelum itu tidak dikenali,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook miliknya pada Jumaat.

Beliau berkata, perjalanan umrah kali ini berbeza berbanding tahun lalu kerana Nadia tidak pergi bersama rakan-rakan seperti sebelum ini, sebaliknya bersama kumpulan jemaah yang baharu dikenalinya.

Iklan

“Jadi, ‘stranger’ di sini merujuk kepada jemaah lain yang Nadia temui buat pertama kali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Menurut Muhammad Kamil, Nadia tidak mengenali 19 orang jemaah lain dalam kumpulan itu ketika mereka bertemu di KLIA sebelum berlepas ke Jeddah.

Kenyataan tersebut sekali gus menepis pelbagai spekulasi liar yang timbul susulan kehilangan Nadia selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah.

Sebelum ini, Nadia dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Jeddah pada Khamis ketika dalam perjalanan mengikuti pakej umrah ziarah bersama sebuah agensi.

Difahamkan, Nadia sepatutnya meneruskan penerbangan ke London selepas transit di Jeddah selama beberapa jam, namun tidak muncul ketika jemaah lain berkumpul untuk meneruskan perjalanan.

Ketiadaan Nadia itu menimbulkan kebimbangan dan mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan netizen, khususnya selepas mesej terakhirnya kepada suami tular di media sosial.

Pihak keluarga bagaimanapun memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan serta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Usaha mengesan Nadia Kesuma masih diteruskan dengan kerjasama pihak berkaitan di Arab Saudi.