Bunuh pelajar sekolah: Pelajar lelaki 15 tahun layak dibicarakan

Iklan
Pelajar lelaki yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, layak dibicarakan.

PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat diberitahu, pelajar (ketika kejadian, tingkatan Satu kelas peralihan) yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, layak dibicarakan.

Peguam, Kitson Foong yang mewakili tertuduh berusia 15 tahun berkenaan, berkata demikian ketika ditemui di luar mahkamah, selepas prosiding dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret, Amira Sariaty Zainal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan itu diperoleh selepas pakar perunding psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr Ian Lloyd Anthony membuat penilaian terhadap tahap mental tertuduh juvana berkenaan sejak tiga bulan lalu.

"Laporan tersebut mengesahkan tertuduh berupaya untuk memahami prosiding dan mampu untuk membela diri atas kes yang dipertuduhkan terhadapnya.

Iklan

"Itu perkara yang paling penting dalam proses pendakwaan jadi kes ini akan diteruskan," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, sementara menunggu perbicaraan kes, anak guam akan ditempatkan dinpenjara kanak-kanak iaitu Pusat Koreksional Puncak Alam, di sini.

Iklan

Dalam pada itu beliau berkata, mahkamah mengarahkan pelajar bawah umur terbabit menghadiri sesi kaunseling dan terapi, sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 6 Februari depan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga (kelas peralihan) di bilik tandas nombor dua sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi, 14 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung atau penjara seumur hidup atau tempoh tertentu, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah itu, selepas disyaki ditikam berulang kali.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala peguam Nur Izni Syazwani Ahmad hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak ibu si mati.