PASIR MAS – Cubaan menyeludup barangan kawalan bersubsidi gula dan minyak masak ke Thailand menggunakan van di sempadan negara berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara di Kampung Tasik Berangan, Jeram Perdah, Rantau Panjang, di sini, pada petang Khamis.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata, Batalion 7 PGA membuat tangkapan ke atas pemandu van terbabit yang berusia 46 tahun itu pada jam 4.30 petang.
“Pihak polis memintas van jenis Nissan Vanette yang membawa muatan mencurigakan untuk menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati van tersebut membawa 240 paket gula dan 493 peket minyak masak yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, dokumen berkaitan barangan yang dibawa gagal dikemukakan dan disyaki palsu serta tidak lengkap.
“Suspek bekerja sendiri ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Jumlah nilai rampasan keseluruhan termasuk kenderaan dianggarkan RM31,916.50,” ujarnya.
Ahmad Radzi menegaskan PGA Briged Tenggara akan terus memperketat kawalan dan melaksanakan operasi bersepadu bagi membanteras penyeludupan barang kawalan selain kemasukan pendatang tanpa izin di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand.
“Orang awam diseru menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan demi keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.