Bung Moktar bebas kes rasuah RM2.8 juta

Iklan
Allahyarham Bung Moktar

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dilepas dan dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap Bung Moktar.

Iklan
Iklan

“Menurut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah, pihak pendakwaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap tertuduh pertama (Bung Moktar).

“Mahkamah membuat keputusan untuk memberikan perintah iaitu tertuduh pertama dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dan wang jaminan (RM100,000),” katanya sambil menambah bahawa pasport dikembalikan kepada penjamin.

Iklan

Bagaimanapun, pendakwaan terhadap balunya, Datin Seri Zizie Izette A Samad, diteruskan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi untuk menggugurkan pertuduhan bersubahat yang dihadapinya.

Mahkamah menetapkan perbicaraan terhadap Zizie Izette, 48, diteruskan pada 5, 6 dan 12 Mac depan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berkata, Bung Moktar selaku tertuduh pertama telah meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu.

“Disebabkan perkembangan berkenaan, kami tidak berhasrat untuk meneruskan prosiding terhadap tertuduh pertama sahaja, mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memohon agar pertuduhan dan prosiding terhadap Zizie Izette diteruskan.

Menurutnya, representasi yang dihantar pihak pembelaan bagi pelakon drama Spa Q itu telah ditolak.

“Saya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk perbicaraan kes berkenaan,” katanya.

Tidak bersetuju dengan perkara tersebut, peguam Ashok Athimulan yang mewakili bekas Pengerusi BN Sabah itu berkata, apabila pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan prosiding, maka perintah yang wajar diberikan oleh mahkamah ialah menghentikan sepenuhnya pendakwaan terhadap Bung Moktar.

“Saya percaya, mahkamah boleh memberikan perintah DNAA (dilepas dan dibebaskan) sahaja.

“Ini kerana berdasarkan seksyen tersebut, ia menyatakan bahawa prosiding hendaklah dihentikan kerana kematian seseorang tertuduh,” katanya.

Sementara itu, peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie Izette memohon agar tarikh perbicaraan baharu ditetapkan pada 5, 6 dan 12 Mac ini.

“Ini merupakan tarikh-tarikh yang telah dipersetujui oleh pihak pendakwaan dan pembelaan,” katanya.

Bekas Ketua UMNO Sabah itu disahkan telah meninggal dunia pada jam 1.46 pagi, 5 Disember 2025.

Pemergian ahli politik berusia 66 tahun itu disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan, menerusi hantaran di Facebook.

Bung Moktar sebelum itu menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui isterinya, Zizie Izette dan akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya.

Dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015, dan jam 12.16 tengah hari pada 19 Jun tahun sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, atas nama Zizie Izette pada masa dan tempat yang sama, jam 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama di lokasi, tarikh dan masa tersebut.