BANGI – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) melancarkan kempen #HopeforGaza bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin melalui pengurusan kerajaan yang telus dan teratur.
Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan berkata, kempen itu diwujudkan sebagai platform rasmi bagi memudahkan masyarakat menyalurkan infak tanpa berdepan risiko kelewatan, ketirisan atau penyelewengan.
Menurutnya, langkah tersebut diambil susulan kebimbangan terhadap isu pengurusan dana sekiranya kutipan dibuat secara individu atau oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara bersendirian.
“Kempen ini adalah inisiatif YAPEIM sendiri sebagai agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), walaupun terdapat beberapa inisiatif lain yang dilakukan pihak lain,” katanya.
Beliau berkata, sasaran awal kutipan bagi kempen #HopeforGaza ditetapkan sebanyak RM1 juta untuk tahun ini.
“Sebarang kutipan tambahan akan disalurkan sepenuhnya melalui Tabung Musa‘adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik YAPEIM 2025 dan Pelancaran Kempen #HopeforGaza yang berlangsung pada Khamis.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, serta Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim.
Mengulas lanjut, Zabidi berkata, kempen itu terbuka kepada penyertaan semua pihak termasuk individu, syarikat korporat, agensi kerajaan dan NGO yang berminat untuk menyumbang.
Katanya, NGO yang telah membuat kutipan secara berasingan juga boleh menyalurkan sumbangan mereka kepada YAPEIM bagi memastikan dana tersebut diurus dan disalurkan secara berpusat.
Beliau menegaskan bahawa kempen itu tidak melibatkan sebarang usahasama dengan mana-mana pihak, sebaliknya YAPEIM bertindak sebagai platform infak yang ditawarkan kepada masyarakat secara terbuka.
“Ini adalah langkah proaktif kerajaan bagi menyediakan satu saluran rasmi untuk membantu Gaza dan mengelakkan ketirisan, penyelewengan serta isu kepercayaan,” ujarnya.
Zabidi berkata, kaedah sumbangan yang disediakan termasuk penggunaan kod respons pantas (QR) serta potongan RM10 melalui akaun bank peribadi.
Menurutnya, maklumat lanjut berkaitan kaedah sumbangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial rasmi YAPEIM, selain kempen susulan yang dirancang sepanjang Ramadan, Aidilfitri dan ibadah korban pada masa akan datang.