ZWOLE - Sebuah mahkamah di Belanda membatalkan perkahwinan sepasang suami isteri selepas mendapati ucapan perkahwinan mereka yang dijana oleh ChatGPT tidak memenuhi syarat undang-undang.
Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Daerah Overijssel pada 6 Januari 2026, yang menilai majlis perkahwinan pasangan tersebut di Zwolle pada April tahun lalu tidak menepati syarat sah perundangan perkahwinan.
Menurut mahkamah, walaupun pasangan itu menggunakan ucapan romantik dan santai hasil ciptaan AI, ucapan tersebut tidak mengandungi pengisytiharan wajib bahawa mereka menerima satu sama lain sebagai suami isteri dan bersedia menunaikan tanggungjawab perkahwinan mengikut undang-undang.
Pasangan pengantin itu dilaporkan telah melantik seorang rakan mereka sebagai pendaftar sivil sementara, dikenali sebagai eendagsbabs di Belanda.
Rakan mereka itu memilih untuk menggunakan ChatGPT bagi mencipta ucapan yang lebih mesra dan santai berbanding ucapan tradisional.
Dalam majlis tersebut, pengantin lelaki ditanya:"Adakah anda berjanji hari ini, esok, dan sepanjang hayat anda, untuk berdiri di sisi [nama pengantin wanita]?"
Sementara pengantin wanita pula ditanya:"Sama ada untuk terus saling menyokong, bergurau, dan bersama-sama menghadapi cabaran hidup?"
Namun, mahkamah menekankan bahawa Artikel 1:67 Kanun Sivil Belanda menetapkan bahawa perkahwinan hanya sah apabila pengantin menyatakan secara jelas penerimaan mereka sebagai suami isteri di hadapan pendaftar dan saksi yang sah, yang mana ucapan AI itu gagal mematuhi syarat berkenaan.
Pihak berkuasa tempatan Zwolle kemudian memaklumkan pejabat pendakwa awam di daerah Oost-Nederland, yang mengarahkan sijil perkahwinan dibatalkan dari daftar sivil kerana perkahwinan tersebut dianggap tidak sah.
Mahkamah menegaskan, peraturan undang-undang tidak boleh diketepikan, sekalipun terdapat pendaftar rasmi yang hadir semasa majlis berlangsung.
Keputusan ini menimbulkan peringatan bahawa walaupun teknologi AI dapat membantu dalam pelbagai urusan, asas undang-undang dan formaliti rasmi tetap wajib dipatuhi, termasuk dalam urusan perkahwinan.-Agensi