JASIN - Polis memburu tiga lelaki yang memecah masuk sebuah rumah dan mencuri wang tunai pelbagai mata wang asing bernilai RM1,500 di Taman Anjung Gapam di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, kejadian berlaku pada 9.20 malam dan turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pemilik rumah berusia 37 tahun itu.
Iklan
Iklan
"Pemilik rumah yang bekerja sebagai pengurus pusat kecantikan menyedari kejadian itu menerusi notifikasi CCTV ke telefon bimbit ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
"Wanita itu melihat dua lelaki memecah masuk ke dalam rumah manakala seorang lagi di luar rumah menyebabkan dia menghubungi Balai Polis Bemban,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, anggota unit kereta peronda MPV yang mengiringi mangsa membuat pemeriksaan mendapati laci almari di bilik utama terbuka dan wang tunai mata wang seperti China, Indonesia, Thailand serta Korea hilang.
Suspek didapati mengumpil jeriji besi dan pintu kayu bahagian depan rumah.
Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Muhammad Fadzlan Fitri Mis menerusi talian 018-3511594 atau balai polis berhampiran. - Bernama