SEREMBAN – Skandal rasuah yang berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini tidak sepatutnya melunturkan keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ini kerana pengorbanan anggota ATM dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara tidak pernah berbelah bahagi.
“Saya fikir rakyat tidak sedikit pun hilang keyakinan kepada ATM apabila berlakunya sesuatu isu melibatkan Kementerian Pertahanan atau anggota pertahanan.
“Ini kerana pengorbanan yang diberikan oleh anggota pertahanan kita tidak pernah berbelah bahagi kepada negara, di mana mereka bukan sahaja memberikan pengorbanan masa dan tenaga, malah nyawa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Perumahan Veteran ATM di Kampung Sentosa, Paroi di sini pada Khamis.
Adly berkata, pengorbanan anggota tentera perlu sentiasa diingati dan dihargai kerana jasa besar mereka kepada negara.
Menurutnya, berhubung isu yang berlaku, pihaknya berharap masyarakat menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan, dan kerajaan sememangnya memberi perhatian serius terhadap perkara yang melibatkan soal integriti.
“Biar pihak berkuasa menyiasat, tetapi penghargaan kepada anggota pertahanan kita tidak sepatutnya luntur kerana tanggungjawab menjaga kedaulatan dan keamanan negara bukan tanggungjawab anggota pertahanan semata-mata, tetapi juga tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kementerian itu sentiasa memberikan komitmen dan kerjasama kepada pihak berkuasa, terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan.