Leka potong kabel curi, dua lelaki positif dadah dicekup polis

Iklan
Dua lelaki positif dadah ditangkap ketika cuba mencuri kabel. - Foto hiasan

MUAR – Dua lelaki kempunan menikmati hasil curi apabila diberkas polis ketika sedang memotong kabel dan gagal melarikan diri dalam kejadian di Jalan Sakeh, Lorong Mansur di sini awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, perbuatan mencurigakan kedua-dua suspek berusia 30 dan 58 tahun yang sedang memotong kabel milik Telekom Malaysia (TM) itu disedari orang awam kira-kira jam 4.29 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, orang awam bertindak menghubungi talian kecemasan 999 sebelum Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar yang sedang bertugas bergegas ke lokasi.

“Pasukan URB Zon Alfa IPD Muar tiba di lokasi dan berjaya menahan kedua-dua lelaki terbabit serta membuat rampasan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, polis merampas sebuah kereta Proton Saga, beberapa keratan kabel TM, alat pemotong kabel serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut.

Iklan

“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, selain boleh dikenakan pengawasan sehingga tiga tahun.

Menurut Raiz Mukhliz, kedua-dua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut dan polis tidak menolak kemungkinan penglibatan mereka dalam kes kecurian kabel lain di daerah ini.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam atas maklumat pantas yang disalurkan sehingga membolehkan tindakan segera diambil bagi membanteras jenayah.