KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka adalah keputusan peribadi dan tidak memberi tekanan kepada parti itu untuk menghentikan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, keputusan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu telah dibincangkan terlebih dahulu bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
"Beliau (Dr Akmal) telah berbincang dengan saya dan Rauf. Saya menghormati pendirian beliau untuk melepaskan jawatan sebagai Exco Melaka.
"Mungkin dengan itu, beliau mempunyai masa dan ruang yang cukup untuk turun ke akar umbi, terutamanya ke bahagian kerana kita ada 191 bahagian Pemuda.
"Mudah-mudahan itu peluang beliau untuk turun ke bawah bagi menggerakkan jentera Pemuda," katanya ketika ditemui selepas melancarkan logo baharu Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.
Sebelum ini, Muhamad Akmal ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 menjelaskan, keputusannya meletakkan jawatan itu dibuat demi kepentingan parti disebabkan suara akar umbi yang menuntut agar parti tidak lagi bersama-sama DAP.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan, tindakan tersebut juga berasaskan tanggungjawab, prinsip dan maruah, selain memberi amaran bahawa beliau akan terus melawan habis-habisan pihak yang bercakap tentangnya.
Mengulas perkara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau akan bertemu dengan Muhamad Akmal bagi mendapatkan penjelasan lanjut, termasuk bertanya pihak mana yang mahu 'diserang'.
"Saya ingin tahu daripada beliau. Nanti saya akan jumpa dengan dia, (tanya) nak serang siapa," ujarnya.