PAU 2025: KJ sebak terima sorakan gemuruh perwakilan

Iklan
Muhamad Akmal Saleh (tengah) bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (dua dari kiri), Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (dua dari kanan) pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebak apabila menerima sorakan gemuruh daripada perwakilan apabila namanya dipetik dalam ucapan dasar Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.

Khairy yang lebih dikenali sebagai KJ juga dilihat bangun dari tempat duduknya dengan wajah terharu dan mengangkat tangan ke arah perwakilan sebagai tanda penghormatan.

Iklan
Iklan

Muhamad Akmal berkata, kehadiran KJ bukan sekadar simbol kepulangan seorang tokoh lama, sebaliknya lambang UMNO kekal sebagai ‘rumah’ buat bekas pemimpin.

“Ditendang kiri dan kanan, diasak atas dan bawah... hari ini saya nak beritahu, jiwa besar Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Alhamdulillah, kita jemput chief (ketua yang merujuk kepada KJ) kembali masuk ke Dewan Merdeka ini.

Iklan

“Saya percaya ini rumah kita. Di sinilah segalanya bermula,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.

Khairy yang memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO dari 2009 hingga 2018 dipecat dari parti berkenaan kerana melanggar disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan

Pada PRU 2022, Khairy secara terbuka mengkritik Ahmad Zahid khususnya selepas Barisan Nasional (BN) mencalonkannya bertanding di kawasan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh.

Dr Muhamad Akmal turut menyentuh mengenai perbezaan pandangan yang pernah wujud dalam parti berkenaan termasuk perdebatan ketika cadangan membawa masuk bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) suatu ketika dahulu yang mencerminkan dinamika dalaman UMNO.

“Mungkin ada yang bersetuju, mungkin ada yang tak bersetuju. Tetapi inilah UMNO. Kita boleh berbeza pendapat, namun kita tidak pernah mengkhianati perjuangan. Kita adalah sebuah keluarga UMNO.

“Walaupun ketika ini KJ jadi penyampai radio (DJ) tapi insya-ALLAH, KJ akan kembali kepada parti ini,” katanya.