Julung kali dikir barat wanita peringkat kebangsaan

Iklan
Dikir barat dipersembahkan sempena majlis sidang akhbar. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Seni persembahan dikir barat yang lazimnya didominasi kaum lelaki kini diberi kelainan disertai wanita buat julung kali untuk menonjolkan bakat mereka dalam pertandingan di peringkat kebangsaan.

Perubahan bersejarah itu dilakukan di Pertandingan Dikir Barat Radio Televisyen Malaysia (RTM) edisi ke-22 tahun ini.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, dikir barat bukan sekadar persembahan seni, sebaliknya menjadi medium yang merapatkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat pelbagai generasi.

“Dikir barat ialah warisan yang menyatukan dan ditonton oleh semua lapisan, datuk, nenek, ibu bapa dan cucu bersama-sama.

Iklan

“Tanggungjawab kami ialah memastikan seni ini terus hidup, berkembang dan dekat dengan masyarakat selain membuat pembaharuan dengan penyertaan wanita buat julung kali,” katanya pada sidang akhbar di Kampung Kraftangan di sini pada pada Khamis.

Menurut beliau, pengenalan kategori wanita dilakukan dengan mengambil kira aspek kesantunan, pematuhan garis panduan serta pemeliharaan nilai budaya termasuk penggunaan lirik dan persembahan yang sesuai dengan konteks semasa.

Iklan

“Asas dikir barat tetap dikekalkan, tetapi setiap tahun perlu ada penambahbaikan.

“Kami tidak mengubah perkara asas, cuma menambah baik supaya kekal relevan,” jelasnya.

Suhaimi (dua dari kanan) mencanting batik sebagai simbolik perasmian. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 ditaja Raja Perfume turut disiarkan di platform digital RTMKLIK yang membolehkan tontonan seluruh dunia.

“Setakat ini, penyertaan diterima dari negeri Kelantan, Terengganu, Selangor dan Pahang.

“Ada empat penyertaan kumpulan wanita dan penyertaan masih lagi dibuka 31 Januari ini,” katanya.

Tambahnya, peringkat saringan dijadualkan berlangsung pada 7 dan 8 Februari ini di stesen RTM terpilih di seluruh negara.

Kumpulan yang layak ke peringkat separuh akhir dan akhir akan berentap di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur masing-masing pada 18 dan 25 April ini.

Hadiah wang tunai keseluruhan bernilai tinggi ditawarkan dengan RM30,000 menanti Juara Kumpulan Lelaki, manakala RM25,000 untuk Juara kategori Kumpulan Wanita.