[VIDEO] Akmal Saleh umum letak jawatan Exco Melaka

Iklan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memutuskan untuk kekal mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang disandangnya sejak 2023.

Iklan
Iklan

Katanya, keputusan berkenaan juga dibuat seiring dengan keresahan ahli akar umbi parti terhadap kerjasama UMNO dan DAP dalam kerajaan serta kemarahan mereka terhadap DAP.

“Sebelum ini saya dah bawa kerisauan rakyat di bawah yang dah tak boleh ‘duduk’ dengan DAP, orang kita marah dengan DAP ini. Saya akur keputusan parti untuk kekal dalam kerajaan sehingga habis penggal. Saya akur sebagai orang parti.

Iklan

“Tetapi sebagai seorang pemimpin dari bawah yang diangkat ke atas, saya perlu akur kepada akar umbi saya. Sebab itu saya mohon maaf, dengan ini untuk menunjukkan saya membawa suara akar umbi yang keresahan, saya meletakkan jawatan saya sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa minggu hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.

Iklan

Dr Muhamad Akmal melatakkan jawatan sebagai Exco Melaka berkuat kuasa minggu depan.

Media pada Rabu melaporkan Dr Muhamad Akmal mengakui sudah meluahkan hasrat dan isi hati ketika bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid serta berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri itu kerana sudi mendengar luahan hati beliau.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan inti pati perbincangan bersama Ahmad Zahid mahupun keputusan sama ada akan terus memegang jawatan sedia ada atau sebaliknya, sekadar berharap keputusannya yang terbaik untuk perjuangan agama, bangsa, tanah air dan UMNO.

Sebelum ini juga dilaporkan Dr Muhamad Akmal memberi bayangan sedia melepaskan jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Exco Kerajaan Melaka susulan kontroversi desakannya supaya parti itu mempertimbangkan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.

Susulan itu, DAP Melaka membidas gesaan Dr Muhamad Akmal kerana mendakwa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju kerajaan.

Pemuda Sosial DAP (DAPSY) kemudiannya mendesak Dr Muhamad Akmal melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO selepas Ahmad Zahid menegaskan UMNO akan terus berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal turut memberi amaran untuk menentang DAP habis-habisan bagi membela maruah dan prinsip UMNO.

“Saya nak beri amaran kepada pihak yang selalu bercakap tentang saya, yang selalu beri tekanan kepada Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, saya nak bagitahu bila saya tidak berada dalam Exco Melaka saya akan lawan kamu habis-habisan nanti.

“Saya akan pastikan maruah Pemuda UMNO bukan macam yang kamu sembang tapi kosong hasilnya. Maka dengan itu saya hari ini nak umumkan sekali lagi, (keputusan) ini bukan soal jawatan dan wang ringgit.

“Kalau soal jawatan dan wang ringgit saya tak lepaskan jawatan Exco saya, saya takkan lepaskan jawatan yang gaji berpuluh ribu. Tapi disebabkan tanggungjawab, prinsip, maruah ahli UMNO, saya dengan ini meletakkan jawatan saya sebagai Exco untuk lawan DAP,” ujarnya.

Katanya, keputusannya melepaskan jawatan tersebut juga selepas mengadakan perbincangan dengan Ahmad Zahid dan Ab Rauf.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, ketetapan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO pula kerana menghormati nasihat kedua-dua tokoh berkenaan.

“Kalau ikutkan di peringat awal saya memang nak letakkan semua jawatan saya. Tapi bila saya nyatakan hasrat saya kepada mereka, mereka cakap pada saya ‘pejuang takkan tinggalkan kawan-kawannya’,” kata beliau.