Khairy muncul di PAU 2025 selepas tiga tahun dipecat UMNO

Iklan
Khairy (kanan) bersama Mohamed Nazri (kiri) hadir ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di WTC pada Khamis. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin muncul buat pertama kali di Perhimpunan Agung UMNO pada Khamis selepas dipecat daripada parti, tiga tahun lalu.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan hadir ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO atas jemputan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Iklan
Iklan

Beliau yang segak mengenakan baju Melayu putih lengkap bersamping merah dan bersongkok tiba di dewan bersama Dr Muhamad Akmal serta bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Dr Muhamad Akmal pada Rabu mengesahkan Khairy akan menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang sekali gus dijangka menyuntik semangat dalam kalangan perwakilan.

Iklan

Beliau turut menyifatkan Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ sebagai antara tokoh penting yang sentiasa dihormati oleh sayap parti itu.

Dr Muhamad Akmal berkata, kehadiran Khairy bukan sahaja dinantikan, malah akan menyemarakkan lagi perjuangan Pemuda UMNO dalam mendepani cabaran politik semasa.

Iklan

Terdahulu, media yang memetik sumber dalaman parti itu melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi membuka peluang kepada bekas pemimpinnya yang digantung keahlian atau dipecat untuk kembali kepada parti itu.

Pada sesi taklimat parti berkenaan pada petang Rabu, Ahmad Zahid menjemput mereka yang ingin kembali untuk hadir ke persidangan parti sebagai pemerhati.

Dalam sesi berkenaan, Ahmad Zahid turut menjadikan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai contoh ahli dan pemimpin yang setia meskipun pernah dipecat oleh parti sebelum ini.

Khairy dipecat daripada UMNO pada 23 Januari 2023 susulan dakwaan memperlekehkan dan mensabotaj kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, beliau turut mengkritik UMNO secara terbuka dengan mendakwa parti itu telah tersasar daripada hala tuju asal, selain menampilkan dirinya sebagai alternatif politik.