WALAUPUN terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, pada Rabu, pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berpuas hati dengan aksi yang dipersembahkan oleh kesebelasan pemain skuad kendaliannya itu.
Malah menurutnya, kesemua pemain telah mempamerkan disiplin dan komitmen, khususnya pada separuh masa pertama, hingga berjaya membuka jaringan dan mendahului perlawanan.
“Kami bermain baik pada separuh masa pertama dan berjaya menjaringkan gol. Dua gol JDT pula hadir menerusi satu rembatan berkualiti dan satu kesilapan pertahanan.
“Apa pun, dari sudut keseluruhan permainan, saya rasa ini satu persembahan yang boleh dibanggakan.
“Malah, ia merupakan proses pembelajaran berterusan dan menjadi keutamaan setiap kali turun beraksi selepas ini,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Tegas Aidil, kekalahan tipis itu tidak menjejaskan keyakinan pasukan, sebaliknya menjadi satu lagi pengalaman berharga dalam usaha Kuching City FC untuk terus konsisten dan berdaya saing sepanjang musim.
Menyentuh kedudukan semasa The Cats di tangga keempat liga, Aidil melihat perkembangan itu secara positif.
Katanya, kedudukan itu wajar mengambil kira perjalanan pasukan sejak awal musim.
“Ketika itu, kami berada di tangga ke-13, kemudian naik ke tempat keempat, seterusnya kedua, dan kini kembali ke keempat.
“Tekanan sebenarnya kini berada di pasukan lain seperti Selangor dan Kuala Lumpur City FC.
“Lagipun, kami masih ada satu perlawanan dalam tangan dan jika menang, kami berada di atas mereka dari segi perbezaan gol,” katanya.
Sementara itu, Aidil turut mendedahkan dua pemain import baharu, masing-masing dari Afrika dan Timur Tengah, bakal menyertai The Cats.
Katanya, kehadiran mereka diharap dapat membantu memperkukuh lagi skuad kendaliannya itu.
“Kehadiran mereka juga akan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pemain skuad serta mewujudkan persaingan sihat dalaman.
“Selain itu, kita juga tidak menolak kemungkinan membawa masuk seorang lagi pemain tempatan, bergantung kepada kedudukan kewangan kelab,” katanya.