TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menahan seorang lelaki tempatan selepas dipercayai menyimpan 126,400 batang rokok seludup dalam satu serbuan di Kampung Kalaboran di sini pada Selasa.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 2 petang oleh Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor hasil risikan selama sebulan.
Menurut beliau, serbuan dilakukan ke atas sebuah premis kediaman yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan rokok tidak berkastam.
“Dalam serbuan tersebut, pasukan telah menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dan menemui sejumlah 126,400 batang rokok seludup.
“Suspek memberi kerjasama penuh semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau memberitahu, semua barang rampasan telah disita dan kes dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang tidak berkastam atau larangan import.
“Anggaran nilai sitaan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM255,842.40,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan itu merupakan kes pertama melibatkan penyeludupan rokok yang direkodkan oleh PPM Wilayah Tiga bagi tahun ini.
Sehubungan itu, PPM Wilayah Tiga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah perairan dan penyeludupan agar tampil menyalurkan maklumat bagi membantu memastikan sempadan negara bebas daripada ancaman jenayah rentas sempadan.
Maklumat boleh disalurkan ke talian 09-513 7726 atau e-mel gerakanw3@gmail.com dan identiti pemberi maklumat dijamin dilindungi sepenuhnya.