33 individu mengaku bersalah langgar perintah PKP

Iklan
Kesemua tertuduh tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi anggota polis pada jam 9.30 pagi.

ALOR SETAR - Seramai 33 individu termasuk lima di bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar daerah ini.

Mereka yang berusia antara 16 hingga 50-an itu ditahan di lokasi berasingan sekitar Mergong, Simpang Empat, Kuala Kedah dan pekan Alor Setar di sini, antara 26 hingga 28 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan denda RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau keduanya.

Majistret Siti Noorhidayah Mohd Noor kemudiannya menjatuhkan hukuman denda antara RM500 sehingga RM1,000 kepada setiap tertuduh dan ada di antara mereka turut dikenakan hukuman penjara sehingga 14 hari bermula dari tarikh ditahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dan Alif Farhan Hassan.

Terdahulu, sekumpulan orang awam yang disyaki ahli keluarga tertuduh terpaksa menunggu di luar pagar mahkamah kerana dilarang masuk berikutan pelaksanaan PKP.

Iklan

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 74 individu telah ditahan di sekitar daerah ini kerana melanggar perintah PKP.