KUALA LUMPUR -"Ada pihak yang kata Pemuda biadab, bagi saya, tidak."
Demikian ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung parti itu.
Mohamad berkata, sememangnya tugas Pemuda sebagai pembingit dan 'rebellious' selain menjadi loceng kecemasan.
Menurutnya, jika ada dasar kerajaan merugikan Melayu atau menekan rakyat, Pemuda yang akan bangkit serta menyanggah terlebih dahulu.
"Saya tahu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Pemuda telah menjeritkan hal isu rakyat dalam Konvensyen baru-baru ini.
"Dr Akmal dan Pemuda, teruskan keberanian kamu. Tapi, jadilah pembangkang konstruktif dari dalam kerajaan.
"Rampas naratif hero rakyat daripada pembangkang," ujarnya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Pemuda UMNO menganjurkan konvensyen khas bertemakan 'Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan'.
Itu bertujuan menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.
Walaupun konvensyen itu dicetuskan oleh kegagalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin membuat permohonan maaf seperti dituntut Pemuda UMNO Selangor, isu sebenar yang ingin diangkat jauh lebih besar dan bersifat struktural kepada persoalan keserasian UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui bersama Pakatan Harapan (PH).
Tambah Mohamad, Pemuda UMNO perlu membuktikan mereka yang paling efektif menjaga Melayu, bukan pihak yang hanya pandai main sentimen.
Dalam masa sama, beliau turut mahukan Puteri UMNO menjadi unit risikan data.
Jelasnya, mereka perlu berperanan untuk mengubah persepsi anak muda.
"Puteri, medan perang kamu di skrin telefon. Masuk ke kolej-kolej, masuk ke ruang digital, naikkan isu kesihatan mental, gaji dan bermaruah.
"Pastikan undi 18 nampak UMNO sebagai kawan yang memahami," katanya.