Lelaki disyaki bakar enam rumah di Kampung Johan Setia diberkas

Iklan
Antara rumah yang terbakar dalam kejadian di Kampung Johan Setia di sini pada Selasa.

KLANG – Seorang lelaki diberkas selepas disyaki terlibat dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan enam buah rumah di Kampung Johan Setia di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamal Ariffin Aman Shah berkata, pihaknya menerusi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat berkaitan kebakaran kira-kira jam 2 petang.

Iklan
Iklan

"Semakan mendapati kebakaran berlaku di dua lokasi berasingan dengan jarak kira-kira 500 meter.

"Kebakaran di lokasi pertama melibatkan sebuah rumah manakala lokasi kedua pula membabitkan lima rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Katanya, jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang tiba di lokasi kejadian berjaya mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya dalam tempoh kira-kira dua jam.

"Kejadian ini tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa, bagaimanapun, jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.

Iklan

"Susulan kejadian, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, bertindak atas maklumat yang diterima, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau dan 11 rekod lampau berkaitan dadah.

"Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Klang bagi membantu siasatan yang dijalankan," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222.