AGIBOT, syarikat robotik terkemuka yang mengkhusus dalam kecerdasan terjelma (embodied intelligence) mengumumkan permulaan siri inisiatif strategik di seluruh rantau Asia Pasifik pada tahun 2026 bermula dengan pelancaran bersejarah di Malaysia.
Diasaskan pada tahun 2023, AGIBOT bercita-cita membangunkan robot untuk era Kecerdasan Umum Buatan (AGI) selain menumpukan kepada pembangunan robot pintar terjelma yang mampu belajar, menyesuaikan diri dan berkembang dalam dunia sebenar.
Laporan General-Purpose Embodied Intelligent Robot 2026 oleh Omdia mendedahkan, AGIBOT menduduki tempat pertama di peringkat global dari segi penghantaran dan pegangan pasaran robot humanoid pada tahun 2025 dengan lebih 5,100 unit dihantar serta menguasai 39 peratus pasaran global.
Menurut Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif AGIBOT, Deng Taihua, AGIBOT mencatat kemajuan ketara dalam usaha meningkatkan pengeluaran besar-besaran serta penggunaan praktikal robotik terjelma pada tahun lalu.
“Pencapaian ini dimuktamadkan pada penghujung tahun lalu apabila kami berjaya mengeluarkan robot humanoid ke-5,000 yang dihasilkan secara besar-besaran.
“Kejayaan ini, bersama pencapaian lain meletakkan AGIBOT dalam kedudukan yang kukuh ketika melangkah ke tahun 2026,” katanya pada majlis pelancaran AI World Experience Centre (AIWEC) yang berlangsung di i-City, Shah Alam pada Selasa.
Majlis yang dihadiri kepimpinan kanan AGIBOT, rakan kongsi, pelanggan dan media itu dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Menurut Lih Kang, kecerdasan buatan (AI) bukan lagi satu konsep yang jauh sebaliknya telah membentuk industri, mentransformasi ekonomi dan mendefinisikan semula cara kita hidup dan belajar.
“Apa yang menjadikan AIWEC begitu unik ialah keselarasan mendalamnya dengan keutamaan nasional kita. Ini bukan sekadar pameran teknologi tinggi, ia adalah ruang yang inklusif, interaktif dan pendidikan yang direka untuk mencetuskan rasa ingin tahu, membina literasi AI, dan memberdayakan rakyat Malaysia dari semua peringkat umur untuk memahami dan berinteraksi dengan salah satu teknologi paling transformasi pada zaman kita,” katanya.
AIWEC ditubuhkan melalui kerjasama dengan I-Berhad, salah satu syarikat pelaburan dan pemaju hartanah terkemuka Malaysia serta pemaju induk i-City.
Tambah Taihua, majlis pelancaran AGIBOT di Malaysia merupakan satu contoh komitmen untuk membawa pengeluaran besar-besaran serta penggunaan praktikal robotik terjelma kepada pelanggan di rantau ini.
Sebagai sebahagian daripada pakatan strategik itu, teknologi robotik bertaraf dunia dan AI terjelma AGIBOT telah digunakan merentasi sektor hartanah, hospitaliti, pelancongan serta kehidupan bandar seharian di i-City, bandar digital terkemuka Malaysia.
Pada masa sama, kerjasama tersebut turut memberi penekanan kukuh terhadap kesejahteraan dan jangka hayat manusia yang mana AI dan robotik diaplikasikan bukan sahaja untuk meningkatkan produktiviti dan automasi malah bagi pengoptimuman kesihatan serta kualiti hidup.
AI World melambangkan fasa pertama kepada satu kerjasama strategik jangka panjang yang lebih menyeluruh antara AGIBOT dan I-Berhad.
Presiden Wilayah Asia-Pasifik dan Timur Tengah AGIBOT, Abel Deng pula berkata, pembinaan dan pelancaran pusat pengalaman AI & Robotik pertama di Malaysia menandakan tamatnya fasa pertama kerjasama bersama i-City dengan rancangan untuk pembangunan selanjutnya pada tahun akan datang.
“Tahun ini, melalui kerjasama dengan rakan serantau, kami akan mempercepat pembangunan ekosistem robotik terjelma di Asia Pasifik serta menggunakan produk dan penyelesaian robotik terjelma dalam pelbagai senario komersial berlingkar tertutup,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, pihaknya yakin inisiatif strategik antara AGIBOT dan I-Berhad itu akan memajukan visi Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi inovasi AI melalui pembangunan bersepadu merentasi teknologi, tadbir urus, bakat, infrastruktur dan pelaburan.
“Selain itu, dengan membangunkan Menara Kediaman AI dan Robotik pertama di dunia sebagai platform ujian sebenar dan platform komersialisasi untuk robot humanoid, kami mempercepatkan integrasi kecerdasan terjelma ke dalam kehidupan kediaman seharian.
“Kami juga meletakkan asas untuk menterjemahkan kemampuan robotik canggih ke dalam kehidupan harian sambil menempatkan kesihatan, kesejahteraan dan jangka hayat sebagai teras persekitaran kediaman masa depan.
“Melalui gabungan AI, robotik, inovasi kesejahteraan dan model Robots-as-a-Service (RaaS) yang boleh skala, kami menetapkan penanda aras baharu bagi kehidupan pintar dan berfokuskan manusia di rantau ini bermula dengan AI Tower,” katanya.
Antara barisan produk AGIBOT merangkumi Siri AGIBOT A2, Siri AGIBOT X2, Siri AGIBOT G2, Siri AGIBOT D1 dan Siri AGIBOT C5.
Robot AGIBOT memfokuskan kepada lapan aplikasi komersial utama termasuk penerimaan dan hospitaliti, hiburan dan persembahan komersial, pembuatan pintar industri, penyortiran logistik, pemeriksaan dan rondaan keselamatan, pengumpulan data dan latihan, penyelidikan saintifik serta pendidikan.
Melalui penggunaan meluas dalam pelbagai industri, AGIBOT merealisasikan potensi AI terjelma dengan memacu peningkatan industri, mentransformasikan proses perkhidmatan dan pengeluaran serta menyokong usaha transformasi digital yang lebih menyeluruh.