Ringgit ditutup tinggi berikutan percanggahan Trump-Fed lemahkan dolar AS

Iklan
Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS hingga ke paras RM4.05.Foto hiasan

RINGGIT terus mengukuh berbanding dolar AS pada Selasa ke arah paras RM4.05 ketika menutup dagangan selepas dibuka pada RM4.06, berikutan serangan berterusan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap Rizab Persekutuan (Fed) yang menjejaskan keyakinan pasaran dan melemahkan dolar AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0555/0600 berbanding dolar AS daripada 4.0605/0660 semasa ditutup pada Isnin.

Iklan
Iklan

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, calon yang akan menggantikan Pengerusi Fed, Jerome Powell menjelang pertengahan tahun ini masih belum pasti, dan pengerusi baharu itu dijangka cenderung menurunkan kadar faedah dalam penilaiannya terhadap keadaan ekonomi.

"Secara tidak langsung, ini akan diterjemahkan kepada Kadar Dana Persekutuan yang lebih rendah tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Di dalam negara, Mohd Afzanizam berkata, anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat Malaysia 2025 yang akan diumumkan pada Jumaat dilihat menyumbang kepada prospek positif terhadap ringgit.

"Anggaran konsensus menjangka pertumbuhan awal KDNK berada pada 5.4 peratus, melebihi pertumbuhan 5.2 peratus pada suku sebelumnya. Sekiranya ini berlaku, pertumbuhan KDNK 2025 mungkin melebihi julat tertinggi unjuran kerajaan (4.0 peratus hingga 4.8 peratus)," katanya.

Iklan

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5521/5551 daripada 2.5717/5754 ketika ditutup semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7344/7396 daripada 4.7435/7499 pada Isnin, tetapi menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4676/4737 daripada 5.4630/4704.

Mata wang tempatan menunjukkan prestasi lebih baik berbanding mata wang serantau ASEAN.

Ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1511/1549 daripada 3.1567/1613 semasa ditutup pada Isnin, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 240.3/240.6 daripada 240.9/241.3 semalam, naik berbanding peso Filipina kepada 6.83/6.84 daripada 6.85/6.86, dan menambah berbanding baht Thai kepada 12.8840/12.9036 daripada 12.9961/13.0195 sebelumnya. - Bernama