JPN jawab isu lewat proses MyKad pelajar 17 tahun

Iklan
JPN tidak boleh terus mencetak dan mengeluarkan MyKad tanpa melengkapkan proses pembetulan rekod dan pendaftaran yang diperlukan.

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak boleh meneruskan proses mencetak dan mengeluarkan MyKad kepada seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang dikenali sebagai CJ (bukan nama sebenar) berikutan masih belum menerima borang permohonan daftar lewat kad pengenalan yang lengkap sehingga 12 Januari 2026 .

JPN dalam satu kenyataan berkata, tindakan pembetulan dan pengesahan dokumen perlu dilaksanakan terlebih dahulu selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur pendaftaran yang berkuat kuasa sebelum sebarang pengeluaran dokumen pengenalan diri dapat dilakukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara ini khususnya dalam kes yang melibatkan ketidakselarasan atau penipuan dokumen sebelum ini.

Katanya, semua langkah yang diambil adalah bagi memastikan ketepatan, integriti rekod negara serta pematuhan kepada undang-undang.

Iklan

"JPN ingin menegaskan bahawa jabatan ini menghormati sepenuhnya keputusan dan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 8 Disember 2025 dan komited untuk melaksanakan perintah tersebut dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan dibuat oleh CJ seperti yang diarahkan oleh Mahkamah.

"Bagaimanapun, kes ini turut melibatkan isu penipuan dokumen semasa permohonan sijil kelahiran dibuat oleh ibu individu terbabit pada tahun 2008. Ia merupakan asas kepada ketidakselarasan dan penipuan dokumen yang direkodkan oleh JPN sebelum perkara status kewarganegaraan individu terbabit dibawa ke Mahkamah," ujarnya pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, sekumpulan peguam mewakili seorang remaja yang disahkan mahkamah pada bulan lalu sebagai seorang warganegara Malaysia telah membidas sikap JPN kerana enggan mematuhi arahan hakim.

Pada 8 Disember, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan tempoh 30 hari kepada JPN dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution untuk mengeluarkan MyKad biru kepada remaja tersebut, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang selesai menduduki peperiksaan SPM bulan lalu.

Bagaimanapun, kunjungan berulang kali remaja itu ke JPN berakhir dengan kegagalan memenuhi perintah mahkamah.

Tambah JPN, pihak memberi jaminan bahawa tiada keingkaran terhadap perintah Mahkamah berlaku dan semua tindakan sedang dilaksanakan secara teratur, berhemah serta selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

Jelasnya, CJ telah hadir ke kaunter Bahagian Kad Pengenalan (BKP) JPN Putrajaya pada 8 Januari 2026 bagi penyerahan perintah Mahkamah Tinggi tersebut.

Sehubungan itu katanya, JPN telah menyerahkan borang permohonan dan senarai semak pendaftaran lewat kad pengenalan untuk dilengkapkan oleh CJ sebagai sebahagian daripada proses pelaksanaan perintah Mahkamah.

"Namun demikian, JPN masih belum menerima borang permohonan daftar lewat kad pengenalan yang lengkap. Jabatan ini tidak boleh terus mencetak dan mengeluarkan MyKad tanpa melengkapkan proses pembetulan rekod dan pendaftaran yang diperlukan.

"Keperluan saksi bagi dokumen permohonan daftar lewat kad pengenalan bukan terhad kepada wakil rakyat sahaja. Saksi yang disenarai oleh JPN boleh terdiri daripada wakil rakyat, majikan, ketua kaum, penghulu, pegawai kerajaan kumpulan pengurusan dan profesional," ulasnya.

JPN menegaskan bahawa pihaknya sentiasa berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta melaksanakan tanggungjawab pendaftaran dan dokumentasi negara secara profesional, telus dan berintegriti.