KUALA LUMPUR - Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, kenaikan gaji hakim sebanyak 30 peratus mampu memperkasa kebebasan badan kehakiman kerana mereka tidak menerima kenaikan tahunan dan dilarang memegang jawatan lain atau terlibat dalam perniagaan.
Berucap pada majlis Perasmian Tahun Perundangan 2026 di sini pada Isnin, Wan Ahmad Farid turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia atas pelarasan gaji itu, yang disifatkan beliau sebagai tepat pada masanya serta amat signifikan.
"Ini merupakan pelarasan pertama dalam tempoh sedekad... memandangkan para hakim tidak menikmati kenaikan tahunan dan dilarang memegang jawatan lain atau terlibat dalam perniagaan, kenaikan ini mencerminkan pengiktirafan yang jelas terhadap tuntutan serta tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pegawai dalam bidang kehakiman.
"Ia turut membuktikan komitmen bermakna dalam usaha mempertingkat kebajikan para hakim sekali gus menyokong pentadbiran keadilan yang berdaya tahan, berwibawa dan berpestasi tinggi,” katanya sambil menambah, kenaikan itu menyumbang secara langsung kepada langkah pemerkasaan kebebasan badan kehakiman.
Kenaikan gaji hakim sebanyak 30 peratus itu telah diwartakan pada 1 Januari lepas dan langkah tersebut memenuhi janji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026, terpakai kepada semua hakim daripada Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan.
Wan Ahmad Farid turut mengingatkan para hakim bahawa peningkatan imbuhan itu perlu seiring dengan peningkatan tanggungjawab.
"Jawatan kehakiman membawa bersama jangkaan bahawa hakim banyak membaca, sentiasa mengikuti perkembangan semasa perundangan dan dalam kalangan masyarakat, melengkapkan diri dengan pengetahuan baharu serta tidak pernah berhenti menimba ilmu.
"Dalam landskap perundangan yang semakin pesat berkembang, pembelajaran berterusan bukan lagi pilihan sebaliknya adalah satu tanggungjawab," katanya.
Beliau berkata, imbuhan yang adil berfungsi sebagai satu perlindungan penting kepada badan kehakiman.
"Badan kehakiman yang menerima imbuhan setimpal mampu membantu melindungi para hakim daripada pengaruh tidak wajar, menggalakkan tokoh perundangan berkeupayaan tampil berkhidmat dan membolehkan mereka yang bersidang melaksanakan tanggungjawab tanpa sebarang kebimbangan dari segi kewangan," katanya.
Wan Ahmad Farid juga berkata, dalam tempoh 100 hari pertama memegang jawatan, beliau telah menyatakan hasrat untuk meneroka kemungkinan memperkenal insentif berasaskan prestasi kepada hakim Mahkamah Atasan yang menunjukkan ketekunan, disiplin dan komitmen berterusan dalam melaksanakan tugas kehakiman mereka.
"Amalan ini bukanlah sesuatu yang baharu… ia dilaksanakan di beberapa negara yang mempunyai bidang kuasa setanding dengan Malaysia seperti Singapura dan merupakan satu pendekatan yang wajar dipertimbang secara teliti serta berprinsip," katanya. - Bernama