PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Naib Presidennya, Datuk Dollah Salleh sebagai Penolong Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
FAM dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan pelantikan legenda bola sepak negara itu bagi membantu Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee yang dilantik menggalas tanggungjawab berkenaan bulan lepas.
Badan induk itu turut mengumumkan barisan kejurulatihan dan kakitangan teknikal baharu NFDP yang akan mengendalikan program elit bola sepak negara berkenaan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Razip Ismail dilantik sebagai Ketua Pendidik Jurulatih dan Pencarian Bakat NFDP dan beliau dibantu oleh P Ganasamurthy, Abdul Ghani Malik dan S Veloo.
Bagi skuad AMD Bawah 13 tahun (B-13), pasukan itu akan dikendalikan oleh ketua jurulatih, Hassan Sazali Waras, dibantu Fadzli Saari dan Fauzi Kassim, manakala Firdaus Mohamad dilantik selaku jurulatih penjaga gol.
Sementara itu, skuad AMD B-14 pula akan diterajui oleh Rusdi Suparman sebagai ketua jurulatih, dengan bantuan Aziz Ismail dan Shahril Faizal Sharifuddin, serta Rozaimi Rohim sebagai jurulatih penjaga gol.
Bagi skuad AMD B-15, P Maniam dilantik sebagai ketua jurulatih, dibantu M Lingeswaran dan Radzi Salleh, manakala Norazlan Razali menggalas tugas jurulatih penjaga gol.
Bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan pula dipertanggungjawabkan sebagai ketua jurulatih AMD B-16, dengan dibantu Lim Chan Yew dan Kuizwan Johari, serta Farizal Harun sebagai jurulatih penjaga gol.
Sementara itu, Noor Zaidi Rohmat dilantik sebagai ketua jurulatih skuad AMD B-17, dibantu oleh Armi Sharif dan Syahrul Azwari Ibrahim sebagai penolong ketua jurulatih.- Bernama