Rakyat Israel kritikal terbabit kemalangan bas mini di Thailand

Iklan
Enam pelancong warga Israel cedera, termasuk seorang dalam keadaan kritikal, selepas sebuah bas mini yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Thailand.

CHIANG MAI – Enam pelancong warga Israel cedera, termasuk seorang dalam keadaan kritikal, selepas sebuah bas mini yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan jalan raya di Chiang Mai, utara Thailand, pada Sabtu.

Kementerian Luar Israel memaklumkan, semua mangsa berusia dalam lingkungan 20-an.

Iklan
Iklan

Pasukan perubatan, dengan bantuan kumpulan penyelamat Magnus Search and Rescue, memindahkan mangsa ke tiga hospital berbeza di sekitar Chiang Mai, bergantung kepada tahap kecederaan masing-masing.

Media tempatan Thailand, Khaosod, melaporkan seramai tujuh individu cedera dalam kejadian tersebut, kesemuanya warga asing.

Iklan

Menurut siasatan awal, pemandu bas mini berkenaan dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum hilang kawalan, terbabas dari jalan raya dan merempuh sebatang pokok.

Lima mangsa dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan bas mini dan terpaksa dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.

Iklan

Kementerian Luar Israel memaklumkan pihaknya sedang berhubung dengan mangsa yang cedera serta ahli keluarga mereka di Israel, selain bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan Thailand.

Insiden ini berlaku kurang sebulan selepas seorang warga Israel maut manakala anaknya cedera parah dalam kemalangan motosikal di Thailand.

Thailand, yang merupakan destinasi pelancongan popular dalam kalangan rakyat Israel dan pelancong antarabangsa, sering disenaraikan antara negara paling berbahaya di dunia dari segi keselamatan jalan raya.-Agensi