SHAH ALAM - Bekas calon Barisan Nasional bagi Parlimen Sepang, Anuar Basiran mempersoalkan tindakan PKR yang sebelum ini menolak cadangan zon ternakan khas babi yang pernah diketengahkan bagi mengurangkan penderitaan penduduk setempat, namun kini mahu meneruskannya.
Menurutnya, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sabtu bukan teguran biasa, sebaliknya ia lahir daripada penderitaan rakyat dipendam terlalu lama akibat bau, pencemaran dan risiko kesihatan daripada ternakan babi yang gagal diurus dengan betul.
Beliau berkata, masalah ternakan babi di Kuala Langat dan Tanjung Sepat sudah berada pada tahap serius, malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Datuk Dr Karim Mansor pada 2007 hingga 2008 pernah membawa cadangan penyelesaian sebenar.
"Ketika itu, Karim mengemukakan beberapa syor iaitu zon ternakan khas, sistem ternakan tertutup, pengurusan sisa dan bau berteknologi tinggi serta rujukan teknologi moden dari Jerman
"Tujuan cadangan ini jelas dan terang untuk mengurangkan penderitaan penduduk dan menyelesaikan punca masalah. Apa yang berlaku?
"Cadangan ini ditentang dan PKR adalah antara pihak yang menolaknya pada waktu itu," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Ahad.
Menurutnya, cadangan terbabit ditolak bukan kerana kegagalan ataupun teknologi berkaitan tidak berfungsi, sebaliknya disebabkan politik dan sentimen.
Anuar berkata, penolakan cadangan itu menyebabkan tiada zon terkawal dilaksanakan sepenuhnya di kawasan penternakan babi tersebut dan berhampiran kawasan penduduk.
Beliau menambah, bau, pencemaran dan tekanan kesihatan menjadi rutin hidup penduduk selama hampir 20 tahun.
“Hari ini, pihak yang sama bercakap soal 'hak', 'realiti ekonomi' dan 'keperluan komuniti', termasuk kenyataan YB Datuk Borhan (ADUN Tanjong Sepat, Datuk Borhan Aman Shah) yang bersetuju pemeliharaan babi diteruskan.
“Namun, persoalan paling jujur yang rakyat berhak tanya ialah jika hari ini boleh bersetuju untuk teruskan, mengapa dulu penyelesaian ditolak?,” soalnya lagi.
Justeru, beliau mengingatkan supaya isu terbabit tidak dialihkan kerana ia bukan soal agama atau kebencian kaum semata-mata.
Anuar menegaskan, isu terbabit menunjukkan kegagalan membuat keputusan yang betul pada masa yang betul sehingga rakyat masih membayar 'harga' atas keputusan politik yang salah pada masa lalu.
Justeru katanya, teguran Sultan Selangor itu sepatutnya membuka mata semua pihak supaya jangan hanya pandai mempertahankan penternakan dan bercakap soal hak tetapi gagal mempertahankan hak rakyat untuk hidup dalam persekitaran yang sihat.
"Sejarah sudah direkodkan. Rakyat tidak lupa dan kebenaran tidak boleh ditutup dengan naratif baharu," menurut Anuar lagi.