SHAH ALAM – Seorang pejalan kaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas lebuh raya di Kilometer (KM) 9.4 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu susulan penularan satu rakaman video kemalangan berkenaan di media sosial.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 malam, melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan.
“Pejalan kaki terbabit dipercayai berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun dan secara tiba-tiba melintas jalan serta berada di lorong kedua paling kanan selepas susur Lebuhraya ELITE, arah dari Klang ke Damansara.
"Ketika itu, sebuah kereta yang bergerak terus di laluan berkenaan tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Hasil pemeriksaan mendapati punca kematian adalah kecederaan kepala akibat kemalangan jalan raya.
"Sehingga kini identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan usaha mengesan ahli keluarga serta maklumat peribadi mangsa sedang giat dijalankan," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
"Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-775 7354,” katanya.