KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin tidak sempat memulakan hari pertama persekolahan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kepong, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa Noor Hazimi Noor Hashim meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila motosikal Honda EX5 yang ditunggang oleh mangsa dari arah Caltex Pengadang Baru telah dirempuh oleh kereta Perodua Axia yang datang dari arah Kampung Serada menghala ke Titian Baru, Tepoh, Kuala Nerus.
"Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada 7.55 pagi yang memaklumkan berlaku kemalangan di Jalan Kepong, Kuala Terengganu.
"Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa yang bergerak lurus dirempuh oleh pemandu kereta Axia yang datang dari arah bertentangan.
"Kemalangan menyebabkan Noor Hazimi maut di tempat kejadian, manakala pemandu Axia tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, bapa mangsa, Noor Hashim Puteh, 55, berkata ketika kejadian, anak lelakinya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Belukar Sukai, di sini setelah mengisi minyak di stesen minyak Caltex yang terletak kira-kira lima kilometer.
Katanya, mangsa mahu mengambil adik perempuannya yang berusia 14 tahun di rumah sebelum ke sekolah bersama-sama dengan menaiki motosikal.
"Saya keluar rumah pada 6.35 pagi dan terima panggilan kira-kira setengah jam kemudian. Memang tak sangka kerana arwah sudah biasa naik motosikal ke sekolah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. - Bernama