JOHOR BAHRU – Seorang lelaki terselamat apabila tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta dipandunya terbalik dalam kemalangan jalan raya di kilometer (km) 2, Jalan Skudai–Pantai Lido di sini pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan mengesan satu rakaman video tular di media sosial berkaitan kejadian berkenaan pada jam 2.30 petang, Khamis.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun yang bekerja sebagai penyelenggara penyamaan udara sedang dalam perjalanan dari Skudai menuju ke bandar.
“Ketika, mangsa dilaporkan sedang memandu lurus di lorong kiri, sebuah kereta lain yang tidak dikenal pasti dari lorong kanan secara tiba-tiba masuk ke laluan kiri secara mengejut.
“Keadaan itu menyebabkan kereta dipandu mangsa terbabas lalu melanggar batu penghadang jalan sehingga terbalik,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Raub, kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10, LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
Katanya, orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
Mereka boleh menghubungi Balai Trafik IPD Johor Bahru Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sjn Muhammad Shahrul Zairi Muhamat Sahidul di talian 017-5098599 bagi membantu siasatan, tambahnya.
Dalam pada itu Raub berkata, polis turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, mematuhi undang-undang jalan raya.
Selain itu mereka juga diminta untuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik dan pemandu mendapat rehat yang mencukupi dalam usaha mengelak kemalangan berlaku, katanya lagi.