IPOH - Perkhidmatan tren Komuter Utara dan ETS bagi laluan Kamunting dan Padang Rengas mengalami kelewatan berikutan gangguan sistem semboyan disebabkan kecurian kabel.
KTM Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan kelewatan perkhidmatan tersebut dijangka mengambil masa lebih 60 minit dari jadual asal.
"Kerja-kerja baik pulih sedang giat dilakukan. KTMB memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi.
"Maklumat terkini perkhidmatan tren akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Jelas kenyataan itu, pengguna boleh merujuk kakitangan stesen bertugas jika memerlukan sebarang bantuan lanjut.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan sasaran sebenar kerajaan bukan sekadar menurunkan statistik gangguan perkhidmatan rel, sebaliknya mencapai gangguan sifar.