SHAH ALAM - Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan remaja lelaki dan perempuan masing-masing berusia 17 dan 14 tahun selepas dilaporkan hilang sejak Isnin (5 Januari) lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, P Shaswin dan A Jesitha kali terakhir dilihat di Taman Alam Megah, di sini dengan menaiki motosikal bersama dan membawa beg galas.
Ramsay berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan dua remaja itu daripada ibu bapa mereka pada Selasa.
Menurutnya hasil siasatan awal mendapati mereka keluar dari kediaman masing-masing di Seksyen 33, Shah Alam pada lebih kurang jam 10.30 pagi.
"Remaja perempuan itu dipercayai keluar mengikut teman lelakinya berumur 17 tahun itu tanpa membawa telefon bimbit manakala pasangannya ada membawa telefon bimbit namun gagal dihubungi.
"Lelaki tersebut merupakan pekerja sebuah syarikat kurier. Sehingga kini kedua-dua mangsa gagal dihubungi dan belum pulang ke rumah setelah dilihat menaiki motosikal jenis Honda Wave,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, keluarga kedua-dua remaja itu memaklumkan tidak berlaku sebarang perselisihan faham dan mereka dipercayai keluar atas hubungan pasangan kekasih.
Ujarnya, individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung keberadaan remaja berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628. - Bernama