SHAH ALAM – Malaysia muncul sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia pada suku pertama 2026, sejajar peningkatan ketara tempahan perjalanan antarabangsa menjelang pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong berkata, berdasarkan data tempahan dari 1 Januari hingga 31 Mac 2026, Malaysia tersenarai antara lima destinasi luar negara utama bagi pelancong dari Asia Tenggara dan China selain tergolong dalam 10 destinasi utama bagi pelancong dari Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan.
“Di peringkat global, Kuala Lumpur menduduki tempat ke lapan dalam senarai bandar raya paling popular yang bakal dikunjungi termasuk destinasi kegemaran ramai seperti Tokyo, Seoul dan Bangkok.
“Momentum Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar Asia terus menggalakkan berikutan kepelbagaian tarikan bandar, alam semula jadi serta destinasi mesra keluarga berteraskan warisan dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, data Trip.com menunjukkan rakyat Malaysia cenderung memilih perjalanan serantau dengan penerbangan jarak dekat kurang 2,000 kilometer dan jarak pertengahan antara 2,000 hingga 5,000 kilometer merangkumi sebahagian besar tempahan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
“Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Kuching dan Johor Bahru menjadi destinasi domestik paling popular manakala China, Singapura, Jepun, Thailand dan Indonesia pula pilihan luar negara utama rakyat Malaysia.
“Golongan milenial kekal sebagai kumpulan pelancong terbesar dengan menyumbang lebih separuh daripada jumlah tempahan iaitu 51 peratus, mengatasi tempahan yang dibuat oleh pelancong Gen X (24 peratus) dan Gen Z (21 peratus) secara keseluruhan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, tarikan taman tema terus mencatatkan permintaan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya bagi aktiviti mesra keluarga di dalam dan luar negara.
“Beberapa francais taman tema antarabangsa menjadi tumpuan utama dalam jadual perjalanan ke luar negara apabila tiga tarikan antarabangsa paling banyak ditempah oleh rakyat Malaysia di Trip.com terdiri daripada taman tema utama di Asia.
“Di peringkat domestik, Taman Tema Genting SkyWorlds, Sunway Lagoon dan Skytropolis dikenal pasti sebagai antara tarikan paling popular berdasarkan data tempahan Trip.com bagi 2026,” katanya.
Tambahnya, Trip.com kini menawarkan lebih 300,000 jenis aktiviti, tarikan, lawatan, pilihan pengangkutan dan pengalaman yang boleh ditempah merentasi lebih 200 negara dan rantau dalam lebih 24 bahasa.
“Pilihan untuk menjamu selera di restoran sekutu yang tersenarai dalam Trip.Gourmet serta menikmati pengalaman kebudayaan terpilih boleh diakses oleh pelancong melalui penerokaan dan tempahan tarikan luar negara menggunakan bahasa serta mata wang pilihan masing-masing di aplikasi Trip.com.
“Pada tahun lalu, platform ini turut menjalin kerjasama dengan Live Nation bagi menggalakkan kembara konsert sekali gus mengukuhkan kedudukan Trip.com sebagai platform perjalanan serba lengkap yang paling menyeluruh di dunia,” katanya.