Aliff Syukri dakwa Abdul Kadir ‘cuba melarikan diri’

Iklan
Aliff Syukri dan Abdul Kadir (kanan).

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa pendedahan di media sosial berhubung dakwaan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berhutang jutaan ringgit merupakan usaha terakhirnya kerana bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan berkenaan dilihat ‘cuba melarikan diri’.

Semasa menjawab soalan peguam, Ravichandaran Selliah yang mewakili Abdul Kadir, 87, selaku plaintif, Aliff Syukri, 39, berkata, tindakan itu diambil selepas usahanya untuk menghubungi Abdul Kadir sejak beberapa tahun lalu, gagal.

Iklan
Iklan

Bukan itu sahaja Aliff Syukri selaku defendan berkata, panggilan telefon dan mesej menerusi WhatsApp kepada bekas veteran UMNO itu akhirnya disekat.

“Saya hantar surat, pergi ke pejabatnya, buat panggilan dan hantar mesej, saya rayu pada Tan Sri Abdul Kadir, bukan sehari tuan peguam, tapi memakan masa sampai bertahun.

Iklan

“Tuan bolehlah cakap macam-macam, sebab tuan tak keluarkan modal sampai RM30 juta, itu wang ASB (Amanah Saham Bumiputera) saya, simpanan isteri dan anak-anak,” katanya.

Ravichandaran: Datuk Seri Aliff Syukri boleh guna cara lain, contohnya buat hantaran di media sosial, minta Tan Sri Abdul Kadir berjumpa di mana-mana lokasi, tanpa nyatakan isu dakwaan itu.

Iklan

Aliff Syukri: Sudah, saya buat macam-macam antaranya menggunakan aplikasi Instagram, Facebook dan WhatsApp.

Ravichandaran: Saya cadangkan, Tan Sri tidak pernah mengelak untuk menjawab panggilan Datuk Seri kerana dia sememangnya berada di Kuala Lumpur, menunjukkan dia tidak melarikan diri, setuju?

Aliff Syukri: Tidak setuju.

Ravichandaran: Datuk Seri tak setuju? Jadi Tan Sri lari?

Aliff Syukri: Ya, selepas macam-macam usaha saya buat, itu bukan larikah?

"Kalau Tan Sri tidak lari, saya tidak akan sampai ke mahkamah," kata usahawan kosmetik itu.

Peguam itu kemudiannya mencadangkan bahawa Aliff Syukri boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap plaintif sekiranya mahu mendapatkan semula wang terbabit.

Bagaimanapun Aliff Syukri berkata, tindakan undang-undang hanya akan memakan belanja yang lebih besar memandangkan dia perlu membayar kos guaman.

“Saya tiada pengaruh politik sebab saya bukan ahli korporat, jadi saya gunakan media sosial sebab saya seorang pempengaruh.

“Saya cuma boleh mengharapkan suara daripada media sosial,” katanya yang diwakili peguam, Zulfahmi Abu Bakar, Mohd Tajudin Abd Razak dan Shah Nurul Afzan Abdullah.

Pada 6 September 2023, Abdul Kadir memfailkan saman dan menuntut ganti rugi RM70 juta daripada Aliff Syukri atas dakwaan memfitnah.

Abdul Kadir berkata, Aliff Syukri, 37, yang turut terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut yang ramai dalam platform media sosial iaitu Facebook, Instagram dan lain-lain, didakwa telah mengeluarkan kenyataan itu pada 2 Julai 2023.

Bekas menteri penerangan itu mendakwa, kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan tersebut telah mengundang komen negatif daripada pembaca.

Oleh itu, plaintif menuntut antaranya defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah, selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.

Sementara itu, Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.

Defendan mendakwa, pihak-pihak di dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkan oleh beliau dan segala pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif, di dalam pengetahuan sendiri.