JOHOR BAHRU – Sebuah bas hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta sehingga mengakibatkan kemalangan empat kenderaan di Kilometer 11, Jalan Johor Bahru–Air Hitam, arah selatan, di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas satu rakaman video dimuat naik di Facebook.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 6.50 pagi.
“Bas yang dipandu lelaki tempatan berusia 59 tahun itu datang dari arah Skudai menuju ke pusat bandar.
“Bas berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah kereta Perodua Myvi 1.3 EZi yang berada di lorong sama,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kereta Perodua Myvi tersebut dipandu lelaki berusia 42 tahun dan turut dinaiki seorang penumpang wanita berusia 42 tahun.
Akibat pelanggaran itu, kereta Perodua Myvi terbabit kemudiannya melanggar sebuah kereta Perodua Bezza dan sebuah kereta Volkswagen yang masing-masing dipandu lelaki tempatan berusia 42 dan 62 tahun.
Menurut Azrol Anuar, pemandu dan penumpang Perodua Myvi mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
“Pemandu bas serta pemandu kereta Volkswagen tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, Peraturan 10 Undang-Undang Kecil LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Tarmizi Omar di talian 011-63664413 bagi membantu siasatan.