Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir

Iklan
Pemain campuran negara Chen Tang Jie (kiri) dan Toh Ee Wei bersama rakan senegara Cheng Su Yin dan Hoo Pang Ron pada kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Stadium Axiata Arena. Foto: Bernama

BEREGU campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menyeru peminat Malaysia supaya bersabar dan terus memberikan sokongan kepada rakan seperjuangan selepas menewaskan rakan sepasukan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026 di Arena Axiata pada Khamis.

Tang Jie-Ee Wei mara selepas mencatat kemenangan 21-13, 23-21 dalam pertemuan sesama pemain Malaysia yang berlangsung selama 41 minit.

Iklan
Iklan

Bercakap selepas perlawanan, Tang Jie berkata adalah sukar untuk memberikan ulasan terperinci mengenai lawan mereka kerana kedua-dua pasangan itu berlatih bersama dan amat mengetahui kekuatan serta cabaran masing-masing.

"Kami tidak boleh memberikan banyak komen kerana mereka adalah rakan sepasukan kami. Mereka mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri. Saya hanya berharap rakyat Malaysia dapat memberi mereka lebih sokongan.

Iklan

"Sebagai atlet, ia bukan sesuatu yang mudah. Ada masanya prestasi naik dan turun. Kami berlatih setiap hari, jadi kami tahu bila mereka sedang bergelut atau bila mereka berada dalam keadaan yakin," katanya.

Ee Wei ketika ditanya sama ada peminat perlu menunjukkan lebih kesabaran mengakui bersetuju sambil menyatakan bahawa kemenangan tidak pernah terjamin walaupun setiap pemain bekerja keras.

Iklan

"Ya, kerana kami tidak boleh menang sepanjang masa. Semua orang bekerja keras untuk menjadi juara. Kami sentiasa memberikan yang terbaik tetapi keputusannya adalah sesuatu yang tidak dapat kami kawal sepenuhnya," katanya.

Tang Jie-Ee Wei seterusnya akan berdepan pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet dengan pasangan Malaysia itu memiliki rekod pertemuan positif selepas memenangi dua daripada tiga pertemuan terdahulu.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang tersingkir selepas tewas 9-21, 17-21 kepada pasangan Amerika Syarikat Presley Smith-Jennie Gai.

Soon Huat berkata pasangannya masih belum pulih sepenuhnya daripada keracunan makanan yang menjejaskan keseluruhan prestasi mereka di gelanggang.

"Perlawanan tadi, memang hari ini semua boleh nampak keadan kami memang tak dalam 100 peratus. Lagipun pasangan saya, boleh nampak beliau dalam gelanggang hari ini banyak melakukan kesilapan mudah.

"Jadi dari sana kami ada tukar beberapa taktikal tapi masih tak dapat jadi lagi. Sebab apa-apa pun bola mesti sampai ke tangan beliau untuk dikonsistenkan, barulah saya boleh cari peluang untuk menyerang dan kejar mata sebab kami nampak sudah kena tinggal jauh," katanya.

Beliau berkata pasangan itu kini akan memberi tumpuan kepada pemulihan sebelum beraksi pada Terbuka India dari 13 hingga 18 Januari, diikuti Masters Indonesia dari 20 hingga 25 Januari.

 


Cabaran perseorangan lelaki negara berakhir awal

Cabaran pemain perseorangan lelaki negara pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia sekali lagi berakhir awal selepas harapan terakhir Leong Jun Hao tersingkir pada pusingan kedua edisi 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Jun Hao yang turun sebagai pemain bukan pilihan tewas 18-21, 11-21 kepada pemain pilihan keempat Indonesia Jonatan Christie dalam pertarungan yang berlangsung selama 55 minit.

Pemain ranking ke-28 dunia itu berkata beliau telah memberikan yang terbaik namun mengakui kualiti permainan lawan yang lebih tinggi menjadi penghalang, dengan kemenangan itu membolehkan pemain Indonesia yang menghuni ranking keempat dunia itu mengikat rekod pertemuan mereka kepada 3-3 pada aksi pembukaan musim.

"Saya kecewa kerana merasakan saya mempunyai peluang untuk menang tetapi gagal melakukannya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata kekalahan berkenaan mengajarnya untuk lebih bersabar ketika menyerang lawan. Selepas melalui musim 2025 yang hambar, dengan hanya mencatat dua penampilan pada aksi suku akhir daripada 19 kejohanan, Jun Hao berharap dapat menampilkan aksi lebih konsisten tahun ini dan mara lebih jauh dalam setiap kejohanan.

Kekalahan hari ini turut menyaksikan kemarau trofi perseorangan lelaki negara pada Terbuka Malaysia berlarutan kepada enam edisi berturut-turut.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil ke peringkat suku akhir adalah menerusi Datuk Seri Lee Chong Wei pada 2018, yang turut menyaksikan beliau merangkul gelaran juara.

Pada Selasa lepas, seorang lagi pemain Malaysia Lee Zii Jia tersingkir pada pusingan pembukaan selepas tewas kepada pemain India Ayush Shetty, 12-21, 17-21 dalam masa 39 minit. Terbuka Malaysia 2026 berlangsung sehingga 11 Jan.- Bernama