Kucing calico Yontama dilantik ketua stesen kereta api ketiga

Iklan
Yontama, kucing calico yang dilantik sebagai ketua stesen kucing ketiga pada Rabu. - Foto Kyodo News.

WAKAYAMA – Seekor kucing calico dilantik sebagai ketua stesen kucing ketiga di sebuah hentian kereta api tempatan di Jepun.

Memetik laporan Kyodo News, kucing bernama Yontama itu meneruskan tradisi hampir dua dekad dalam usaha merancakkan pelancongan serta membantu menyelamatkan laluan tersebut daripada kesukaran kewangan, selain mencetuskan langkah serupa oleh pengendali rel lain.

Iklan
Iklan

Dalam satu majlis di laluan Kishigawa di Stesen Kishi pada Rabu, syarikat kereta api, Wakayama Electric Railway Co turut memperkenalkan rekrut pelatih kucing terbarunya, Rokutama.

Pendahulu Yontama, iaitu Nitama juga seekor kucing calico, namun mati pada November tahun lepas dan dinamakan sebagai ketua stesen kehormat.

Iklan

Ketua stesen kucing ketiga, Yontama (tengah), Kojima Mitsunobu (kanan) memegang kucing yang baru direkrut, Rokutama. - Foto Kyodo News.

Laluan Kishigawa mula menarik perhatian masyarakat di seluruh negara selepas melantik seekor kucing bernama Tama sebagai ketua stesen kucing pertamanya pada 2007.

Iklan

Tama berjaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara serta memastikan kelangsungan kewangan laluan berkenaan.

Langkah itu kemudian mencetuskan trend dalam kalangan laluan kereta api tempatan lain yang berdepan kesukaran, dengan melantik kucing, anjing, arnab dan haiwan lain sebagai ketua stesen di seluruh Jepun.

Presiden Wakayama Electric Railway, Kojima Mitsunobu menyarungkan pingat berukir gelaran ketua stesen kepada Yontama, yang disambut tepukan orang ramai di hadapan bangunan stesen di Kinokawa, di sini.

Suri rumah dari Fujidera, Osaka, Chisako Asano, 52, yang merupakan peminat sejak era Tama berkata, dia berharap ketua stesen kucing itu akan terus menjaga Laluan Kishigawa sebaik mungkin.