BEREGU wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah bersedia untuk aksi ulangan final Sukan SEA Thailand 2025, esok menentang pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari selepas mara pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026.
Beregu pilihan kedua itu memulakan kempen mereka dengan cemerlang apabila mudah menewaskan Rutaparna Panda-Swetaparna Panda dari India 21-11, 21-9 dalam tempoh 30 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.
Walaupun mempunyai rekod bersih 4-0 menentang beregu Indonesia itu, Pearly memberi amaran bahawa keputusan aksi sebelum ini tidak memberi makna signifikan dalam pertembungan esok.
"Kami perlu bersedia dari segi fizikal dan mental, rehat serta makan dengan baik dan cuba menumpukan perhatian untuk perlawanan esok,” katanya kepada pemberita dalam temu bual selepas perlawanan di zon campuran, di sini.
Naib juara Kejohanan Dunia 2025 itu membuktikan kehebatan mereka bulan lepas apabila membawa pulang emas tunggal kem badminton Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025, menewaskan lawan yang sama 21-16, 19-21, 21-17.
Lebih penting, kemenangan hari ini menamatkan prestasi mengecewakan mereka di Terbuka Malaysia, apabila beregu nombor dua dunia itu akhirnya mara melepasi pusingan pertama selepas tiga kekalahan berturut-turut pada pusingan pembukaan.
Pearly mengakui rasa lega kerana berjaya mara ke pusingan kedua buat pertama kali sejak penampilan sulung mereka di Terbuka Malaysia 2022, sambil menggambarkan detik itu sangat bermakna di hadapan peminat sendiri.
"Kami juga berasa kecewa kerana sebelum ini tidak dapat memberi peluang kepada peminat menyaksikan kami pada pusingan kedua (tiga edisi sebelum ini). Jadi tahun ini, saya dan Thinaah benar-benar menumpukan perhatian pada permainan kami dan itu banyak membantu,” katanya.
Sementara itu, Thinaah berharap dapat mengekalkan momentum dan menampilkan prestasi lebih mantap ketika mereka berusaha mara ke suku akhir Terbuka Malaysia buat pertama kali dalam karier mereka.
Terdahulu, beregu nombor 60 dunia, Febriana-Meilysa memastikan tempat di pusingan kedua selepas menewaskan pasangan India Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 21-9, 21-23, 21-19.
Terbuka Malaysia 2026 akan berlangsung hingga 11 Januari. - Bernama