KLANG – Seorang lelaki warga tempatan ditemui maut selepas ditembak dua suspek di Taman Wangsa di sini pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima makluman mengenai insiden itu, sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 43 tahun telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Zaini berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai dilakukan oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal sebelum melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa.
“Suspek kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian sejurus selepas tembakan dilepaskan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi tujuan bedah siasat.
"Kita telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222," ujarnya.