MESKIPUN diuji dengan kesakitan dan tidak cukup tidur, mereka masih mampu mencipta kebangkitan luar biasa.
Beregu campuran profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie telah mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila bertarung hingga titisan terakhir untuk mengesahkan tempat mereka di pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026 selepas mencatat kemenangan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.
Pasangan pilihan kelapan itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan gandingan Taiwan, Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin 15-21, 21-19, 21-14 dalam perlawanan mendebarkan selama 56 minit yang bukan sahaja menguji kemahiran malah ketahanan mental dan fizikal mereka pada pusingan pertama pembukaan musim ini.
Soon Huat mengakui perlawanan itu begitu sengit dan beliau serta isterinya, Shevon, tidak berada pada tahap terbaik sekali gus memaksa mereka menyesuaikan strategi permainan sepanjang perlawanan tersebut.
"Daripada set pertama, kami masih mencari rentak sebab ini pasangan baharu dari Taiwan, jadi tidak dapat baca permainan mereka.
"Walaupun kalah set pertama namun kami perlu cari taktik baharu dan melindungi rakan sepasukan untuk dua set berikutnya,” katanyan kepada pemberita dalam temu bual selepas perlawanan di zon campuran di sini.
Soon Huat kemudian mendedahkan bahawa Shevon telah mengalami keracunan makanan pada malam sebelum perlawanan.
Pemain berusia 35 tahun itu berkata situasi menjadi lebih rumit akibat kekurangan waktu rehat kerana beliau terpaksa berjaga untuk menjaga pasangannya.
"Shevon muntah tengah malam tadi, saya pula jaga dia semalaman dan tidak cukup tidur... jadi, hari ini kedua-dua kami agak letih,” katanya.
Beliau juga mengakui sokongan padu daripada penonton di gelanggang sendiri, yang bersorak memberi semangat sepanjang kebangkitan mereka ketika menentang pasangan bukan pilihan dari Taiwan itu.
Kemenangan itu menyaksikan pasangan nombor sembilan dunia itu bakal berdepan gandingan Amerika Syarikat Presley Smith-Jennie Gai, yang menewaskan pasangan India iaitu Dhruv Kapila-Tanisha Crasto 21-15, 18-21, 21-15, pada pusingan kedua.
Terbuka Malaysia 2026 akan berlangsung hingga 11 Januari ini. - Bernama