SHAH ALAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi sokongan moral kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya terus melangkah ke hadapan dan tidak menoleh ke belakang dalam mendepani ujian politik semasa.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis III itu berkata, setiap perjuangan pastinya disertai cabaran besar dan ia perlu diterima dengan penuh kesabaran.
“Akmal, bila kita gerak ke hadapan, kita maju.Tidak boleh toleh belakang.
“Ujian ALLAH SWT besar. Terima dengan sabar. Insya-ALLAH kita menang,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Muhamad Akmal membawakan dua usul dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO, iaitu agar parti kembali bekerjasama dengan Pas dan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan serta berperanan sebagai pembangkang.
Pada Selasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya enggan mengulangi kesilapan lalu dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap keputusan yang bakal dibuat akan diteliti secara menyeluruh dan berhati-hati bagi mengelakkan UMNO"dipatuk oleh ular yang sama buat kali kedua di tempat yang sama".
Pada Rabu, hantaran terbaharu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh di media sosialnya kembali mencetuskan tanda tanya apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, mungkin sudah tiba masanya beliau mengundur diri.