KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran disiplin membabitkan warganya, khususnya jika ia berlaku di dalam kawasan pangkalan tentera.
Panglima Tentera Udara Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, pihaknya memandang serius setiap isu yang boleh menjejaskan imej, maruah dan profesionalisme pasukan itu.
"Saya selaku Panglima Tentera Udara bersama kepimpinan tertinggi TUDM berasa kesal dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran disiplin.
"Siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, sebarang aktiviti tidak bermoral yang dilakukan di dalam pangkalan adalah dilarang sama sekali kerana ia bukan sahaja melanggar disiplin ketenteraan, malah mencemarkan imej serta maruah TUDM sebagai sebuah pasukan pertahanan negara yang berintegriti.
"Tiada sebarang kelonggaran akan diberikan terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam perbuatan tidak beretika atau menyalahi peraturan.
"Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan perkhidmatan demi memelihara imej, maruah serta profesionalisme TUDM,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman segera susulan dakwaan berhubung kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di dalam sebuah kem tentera dan tular di media sosial.
Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, siasatan itu bertujuan menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.