SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui mahasiswa Sarjana Muda Kejururawatan (Separuh Masa), Kumpulan NHSN8B, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Selangor dengan kerjasama Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) telah menganjurkan Program Sentuhan Sihat UiTM Bersama Komuniti Felda Palong 12 dan 13 di Palong, pada Ahad.
Program yang bertemakan Komuniti Sihat, Desa Sejahtera telah disertai seramai 400 penduduk melibatkan pelbagai peringkat umur seperti kanak-kanak, golongan dewasa serta warga emas, selari dengan keperluan kesihatan komuniti desa yang menyeluruh dan berterusan.
Program berimpak tinggi itu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran, pengetahuan serta amalan kesihatan dalam kalangan komuniti setempat melalui pendekatan pendidikan kesihatan yang inklusif, praktikal dan mudah difahami.
Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk senamrobik Fit and Fresh, pameran serta pendidikan kesihatan, Safe Touch Activity untuk kanak-kanak, pendidikan dan saringan dementia warga emas, pemeriksaan kendiri payudara, Testis Self Examination, pendidikan penjagaan kaki diabetes, serta demonstrasi teknik Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) dan bantuan tercekik.
Program itu turut mendapat sokongan pelbagai agensi seperti Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Parlimen Jempol, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pasukan bomba, Pejabat Kesihatan Daerah Jempol dan komuniti Felda.
Ketua Pusat Pengajian iCEPS UiTM, Dr Saiful Adli Bukry berkata, pembelajaran berasaskan komuniti seperti itu membuktikan pendidikan tinggi mampu memberi impak langsung kepada masyarakat.
“Inisiatif berkenaan selaras dengan tanggungjawab sosial universiti serta diharapkan menjadi model kolaborasi berterusan antara universiti, agensi dan komuniti demi kesejahteraan rakyat masa hadapan. Usaha bersepadu ini menyokong pembinaan komuniti sihat, berdaya tahan dan sejahtera secara inklusif berterusan untuk semua lapisan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, majlis perasmian program itu disempurnakan oleh wakil Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Palong, Datuk Mustapha Nagoor.
Mustapha berkata, inisiatif UiTM yang memberi tumpuan kepada kesihatan fizikal, aspek kesihatan mental, kesejahteraan sosial dan peningkatan kualiti hidup masyarakat selaras dengan aspirasi kerajaan negeri serta semangat Malaysia Madani.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan UiTM Selangor, Fatimah Sham berkata, program itu selari dengan keperluan kursus NRS522 Kejururawatan Kesihatan Komuniti yang menekankan aplikasi ilmu, kemahiran profesional, nilai etika serta kepekaan sosial dalam persekitaran komuniti sebenar.
“Mahasiswa berpeluang mengaplikasikan teori kejururawatan, memperkukuh kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan serta memantapkan profesionalisme sebagai ejen perubahan masyarakat,” katanya.