TEKA-teki mengenai siapa yang bakal menduduki kerusi panas di Old Trafford mula hangat diperkatakan susulan pemecatan Ruben Amorim, dengan bekas pengendali, Ole Gunnar Solskjaer dilaporkan bersedia untuk kembali menyelamatkan Manchester United.
Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano mengesahkan bahawa legenda kelab itu terbuka untuk kembali memikul tanggungjawab sebagai pengurus sementara tanpa mengira tempoh kontrak yang ditawarkan.
"Ole Gunnar Solskjaer telah menunjukkan minat untuk mengambil tugas di Manchester United sebagai pengurus sementara, tidak kira berapa lama tempoh kontraknya.
"United kini sedang mengambil masa untuk menilai calon bagi jawatan tersebut. Darren Fletcher akan menjadi pengurus interim pada minggu ini," kata Romano menerusi laman X.
Terdahulu, pengurusan tertinggi The Red Devils mengambil keputusan drastik memecat Amorim selepas mengeluarkan kenyataan secara terbuka susulan keputusan seri 1-1 menentang Leeds United pada Ahad yang dianggap keterlaluan oleh pihak kelab.
Susulan pemecatan itu, bekas pemain tengah dan ketua jurulatih skuad bawah-18 tahun, Darren Fletcher telah dilantik sebagai pengendali interim.
Pada Disember 2018, pengendali dari Norway itu pernah dilantik sebagai pengurus sementara dan susulan prestasi cemerlang, dia diberikan kontrak tetap selama tiga tahun.
Sepanjang tempoh tersebut, Solskjaer berjaya membawa United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan keenam, ketiga, dan kedua sebelum dilepaskan pada 2021.